Monday, September 14, 2009

Sepucuk surat menjelang Aidilfitri!

SEMUANYA bermula dengan sepucuk surat yang saya terima daripada seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Kak Nik (bukan nama sebenar) tiga minggu lalu.
Kerana sibuk dengan urusan kerja, saya terlupa seketika dengan surat tersebut. Selasa, 8 September 2009 saya mengambil surat itu dan membacanya. Sekali, dua dan mengulanginya berkali-kali sampai puas.
Surat itu dipos dari Kapar, Selangor dengan tulisan yang cantik dan kemas. Pada surat tersebut tercatat nama penuh Kak Nik dan alamat rumahnya sekali.
Berdetik juga hati saya menerima surat tersebut kerana selama ini kebanyakan luahan hanya melalui e-mel atau telefon serta juga pertemuan yang diatur oleh saya.
Membelek-belek kandungannya yang syahdu dan penuh kesedihan membuatkan saya termenung seketika. Kisah Kak Nik menganggu tidur saya, terbayang-bayang akan kesedihannya.
Rabu 9 September 2009 saya menghubungi Kak Nik. Sebaik menyebut dan memperkenalkan diri, dia terus meraung dan menangis semahu-mahunya. Buat seketika saya hilang kata-kata.
"Sudah bertahun-tahun saya sabar dan tabah dengan ujian ini. Tapi sekarang kesabaran itu hampir hilang. Saya hampir putus asa. Mujur anak-anak menjadi penawar hidup saya," katanya dengan tangisan yang mula kedengaran.
Ibu kepada sepasang anak , lelaki berusia 16 tahun dan perempuan 15 tahun rupanya bukan setakat menanggung derita zahir batin kerana ditinggalkan suami tetapi juga menghidap kencing manis yang serius.
Penyakit itu juga menyebabkan dia berhenti kerja kerana sebelah kakinya telah dipotong.
"Hanya Allah yang tahu derita saya sekarang ini. Anak-anak memerlukan perbelanjaan untuk ke sekolah, makan minum apa yang ada saja, suami pula entah di mana. Begitu besar ujian Allah kepada saya," katanya dengan suara tersekat-sekat.
Jika dikatakan berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, begitulah apa yang dilalui oleh Kak Nik.
"Sejak mula berkahwin hingga kini, kisah hidup saya begitu pahit. Saya sudah tidak tahu lagi bagaimana hendak bercerita tentang kisah hidup saya ini. Sudah kering air mata, sudah hilang kata-kata," jelasnya yang turut memberitahu menyimpan pelbagai kisah sedih lain dalam hidupnya.
Di sebalik segala kesedihan yang ditanggung Kak Nik bersyukur kerana dipanjangkan usia untuk melihat anak-anak terus membesar dan menerima pendidikan seperti anak-anak lain.
"Malah saya bangga kerana kedua-dua anak saya tidak pernah bersungut tentang kesusahan yang kami lalu. Apa yang ada mereka makan, walaupun hanya nasi tanpa lauk dan air kosong. Ada masa kami tidak makan langsung dan berlapar berhari-hari dengan hanya meminum air," ceritanya dalam nada sebak.
Kekurangan yang dimiliki menjadikan dia bimbang untuk berdepan dengan masyarakat. Mujur ada rumah penempatan untuk orang miskin yang dibina atas tanah milik arwah ayahnya sebagai tempat berlindung.
"Kediaman saya ibarat tinggi lalang daripada rumah, apa yang ada di dalam rumah semuanya pemberian orang yang bersimpati dan faham masalah saya. Jika ternampak ada peti televisyen itu masih belum langsai kerana dibeli secara ansuran.
"Sofa yang ada sumbangan seorang guru dari sekolah berhampiran yang memahami kepayahan saya. Dia yang banyak membantu. Andai terpijak tikar yang sudah usang itu atas usaha anak-anak yang mengutipnya dari tepi jalan lalu dibawa ke rumah.
"Mereka membasuhnya hingga bersih, dijemur sehingga kering dan digunakan untuk melapik tubuh ketika tidur pada waktu malam agar tubuh tidak kesejukan. Kasihan anak-anak, walaupun begitu mereka tidak pernah merungut malah sentiada tersenyum dan berkata, tidak apa mak!," luah Kak Nik sebak.
Kasih ibu membawa ke syurga kasih ayah entah di mana!
Disebabkan terlalu lama memendam perasaan, Kak Nik kini semakin tertekan setelah suami sudah tujuh bulan tidak pulang.
"Suami yang diharap sebagai tempat bergantung rupanya dahan rapuh yang mudah patah. Enam belas tahun saya menderita, terseksa jiwa dan raga. Enam belas tahun juga saya mendiamkan diri dan bersabar. Dipukul, disepak terajang macam bola. Saya buat semua kerja demi sesuap nasi. Sayangnya kesabaran itu kini telah menjadi penyakit. Jiwa saya merana. Keadaan lebih parah apabila sebelah kaki saya dipotong.
"Saya memohon dan meminta kepada Allah SWT supaya memberi saya kekuatan untuk terus hidup. Saya ingin membina hidup baru bersama-sama anak-anak dengan keadaan saya yang serba kekurangan ini," rintihnya sayu mengenangkan anak lelakinya yang kini menjadi agak liar kerana kurang perhatian dan kasih sayang.
Ditanya tentang persiapan raya, Kak Nik tidak menyahut, lama dia mendiamkan diri. Saya tahu dia sebak dan tidak dapat menahan perasaannya.
"Raya ke tidak bagi saya dan anak-anak satu perkara biasa. Kami tidak rasa apa-apa pun sebab bagi kami hari-hari yang berlalu sama sahaja. Makan atau tidak bukan masalah buat kami tiga beranak. Kalau ada orang yang bermurah hati memberi dan menyumbang Alhamdulillah, kami terima," katanya.
Jumaat 11 September 2009, saya bersama Nafsiah Jani dan jurugambar, Mohd. Hafiz sampai ke rumah Kak Nik setelah hampir setengah jam mencari. Kami membawa sedikit barangan dapur, kuih raya dan wang sumbangan daripada keluarga Syed Hashim Al-Habshee dan Din kenalan karib saya yang bermurah hati menyumbang. Alhamdulillah.
Seperti dijangka kehidupan mereka amat menyedihkan. Rumah yang diduduki dikelilingi semak samun yang mungkin menjadi tempat bersarang ular berbisa. Tidak sampai hati hendak saya ceritakan.
Tiga jam mendengar rintihan dan tangisan Kak Nik menginsafkan saya. Inikah pengorbanan yang harus dilalui oleh seorang wanita bergelar isteri dan ibu?
Semoga cetusan hati Kak Nik didengar oleh anda pembaca yang budiman. Bantulah apa yang patut, hubungi saya jika ada tergerak hati untuk membantu meringankan beban mereka terutama menjelang Syawal ini.
Menutup catatan, sesungguhnya nikmat besar yang harus dijaga adalah ketika kebaikan itu memenuhi jiwa dan membahagiakan hati orang lain yang amat memerlukan. Salam

No comments:

Post a Comment